Make your own free website on Tripod.com

KONSEP PENDEKATAN, KAEDAH, TEKNIK, AKTIVITI DAN STRATEGI.

Konsep Pendekatan

Mengikut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti mengatasi masalah.

Di dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran sesuatu mata pelajaran. Ringkasnya, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk mencapai objektifnya.

Pendekatan harus berlandaskan kepada model, prinsip atau teori pembelajaran, misalnya:

  1. daripada konkrit kepada abstrak
  2. daripada mudah kepada kompleks
  3. daripada keseluruhan kepada bahagian
  4. daripada umum kepada spesifik
  5. daripada spesifik kepada umum
  6. daripada dekat kepada jauh
  7. daripada diketahui kepada belum diketahui.

Ringkasnya, pendekatan didalam bidang pendidikan merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya.

Konsep Kaedah

Kaedah ialah cara atau peraturan membuat sesuatu. Ianya merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran spesifik dalam jangka pendek. Ringkasna, kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun.

Konsep Teknik

Mengikut konteks pendidikan, teknik mengajar boleh ditakrifkan sebagai kemahiran guru digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Di antara teknik-teknik mengajar yang biasanya digunakan oleh guru ialah teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi dan hafalan, penyoalan, sosiodrama, main peranan, simulasi, penyelesaian masalah, sumbangsaran, permainan dan sebagainya.

Konsep Aktiviti

Aktiviti bermaksud gerakerja atau tindakan. Di bawah konteks pendidikan ia melibatkan segala gerakerja yang dijalankan oleh guru dan murid-muridnya untuk mencapai objektif pelajaran. Ringkasnya, aktiviti mengandungi segala tindakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Konsep Strategi

Strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Ia juga bermakna kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara. Di dalam bidang pendidikan, konsep stategi merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam satu-satu pengajaran berdasarkan objektif pelajaran yang ditentukan. Ringkasnya, strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada penentuan dan perancangan kaedah seta teknik mengajar untuk mencapai objektif jangka panjang dalam sesuatu pendekatan dengan berkesan.

Rumusan

Pendekatan yang berlandaskan model, prinsip atau teori pembelajaran adalah beraksiomatik, kaedah yang berlandaskan pendekatan mempunyai ciri prosedural, manakal teknik adalah kemahiran melaksanakan kaedah mengajar tersebut.

Strategi pengajaran dan pembelajaran berhubung rapat dengan pendekatan, kaedah dan teknik mengajar. Ia merujuk kepada satu rancangan yang berkesan dalam menentukan pendekatan serta memilih dan menyusun kaedah dan teknik mengajar secara logikal dan sistematik uantuk mencapai objektif pelajaran secara optimum.

Aktiviti adalah suatu pendekatan baru dalam pendidikan moden yang menegaskan pembelajaran berasaskan kepada aktiviti murid. Konsep aktiviti dalam pendidikan ini juga berkait rapat dengan strategi pengajaran dan pembelajaran.