Make your own free website on Tripod.com

MAKTAB PERGURUAN TEMENGGUNG IBRAHIM

Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran berkait rapat dengan penguasaan kemahiran dan merancang rancangan pengajaran serta penguasaan teori-teori pembelajaran.

Berdasarkan mata pelajaran pengkhususan anda, sediakan satu Rancangan Pengajaran Harian mengikut format yang telah ditetapkan.

(b)Huraikan lima teori pembelajaran yang anda telah aplikasikan dalam Penyediaan Rancangan Pelajaran harian yang berkenaan dan jelaskan implikasi setiap teori tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran.

AHLI KUMPULAN

ASHAR B. TUGININ

ZANARIAH BT. MOHD NOH

RUFINA BT. KAMMAN

JRUMASNAH BT. HASSAN.

OPSYEN : 3 PA / SN

PENSYARAH PEMBIMBING: EN. MD. ZIN B. BADUI

 

Rancangan Harian.

 

Mata pelajaran : Sirah

Kemahiran : Persaudaraan Muhajirin dengan Ansar

Persaudaraan Islam Sejati.

Tajuk : (1) Pengertian Muhajirin dan Ansar

(2) Sebab persaudaraan.

Tarikh : 24 hb. September 2003.

Hari : Rabu.

Masa : 9.00 9.30 pagi.

Darjah : 5 Mithali

Bilangan murid : 30 orang.

Umur : 11 tahun.

Pengetahuan sedia ada : (1) Murid telah mendengar cerita daripada ibu bapa mereka.

(2) Murid telah mendapat didikan di sekolah agama.

Objektif eksplisit : Di akhir pelajaran ini murid-murid dapat:

Menyatakan pengertian Muhajirin dan Ansar.

Menyenaraikan dua sebab berlakunya persaudaraan.

Objektif K.B.K.K : Membuat perkaitan.

Penerapan nilai : Bekerjasama, bersyukur

Penyerapan ilmu : Bahasa Arab, Jawi, Bahasa Melayu, Akhlak.

Gabungjalin : Bersyair, berlakon.

Langkah Isi pelajaran Aktiviti pengajaran dan pembelajaran Catatan
Pendahuluan

(2 minit )

Berselawat dan membaca doa.  

Murid dan guru bersama-sama membaca doa dan berselawat sebelum memulakan pengajaran.

 
 

Set induksi

( 5 minit )

Memperdengarkan nasyid marhaban.

         طلع البدر علينا

من ثنيات الوداع

وجب الشكر علينا

ما دعالله داع       

- Guru memperdengarkan nasyid marhaban melalui radio kaset.

- Murid mendengar dan menjawab soalan guru.

- Guru mengaitkan jawapan dengan tajuk pelajaran.

 
Langkah 1

( 10 minit )

 

- Pengertian Muhajirin dan Ansar.

- Membuat perkaitan syair dengan pengertian Muhajirin dan Ansar.

- Muhajirin ialah orang Islam Mekah yang berhijrah bersama-sama Rasullah ke Madinah.

- Ansar ialah orang Islam Madinah yang menolong orang Islam Mekah tatkala mereka berhijrah ke Madinah.

- Guru mengedarkan keratan syair kepada setiap kumpulan.

- Murid membaca syair perlahan sebelum guru memilih beberapa orang murid untuk bersyair.

- Guru memberi arahan supaya murid mencatat syair yang memberi maksud kepada Muhajirin dan Ansar.

- Guru menilai semula jawapan murid dan memberi ulasan.

Bekerja

sama

Langkah 2

( 10 minit )

- Sebab berlakunya persaudaraan Islam Sejati.

- (1) Menyatupadukan ummah.

- (2) Menambah kekuatan menentang musuh.

- (3) Menyebarkan Agama Islam.

- (4) Memperkukuhkan silaturrahim.

 

K.B.K.K

Hubungkait syair dengan maksud yang tersebut.

 

  - Guru memberi arahan supaya mencari sebab berlakunya persaudaraan daripada syair.

- Wakil murid akan menjawab dan mengulas sebab berlakunya persaudaraan.

- Guru menunjukkan gambat untuk dilakonkan oleh murid.

- Murid diberi beberapa minit untuk menghayati watak untuk berlakon.

- Guru memberi penerangan dan memberi kata

-

- perangsang (nilai)

Bersyukur.
Penutup

(3 minit )

Rumusan Seorang wakil murid membuat rumusan pelajaran hari ini dengan bimbingan oleh guru.

Guru memberi nasihat dan penerapan nilai murni.

 
 

TEORI TEORI PEMBELAJARAN DAN IMPLIKASINYA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

TEORI PELAZIMAN PAVLOV

Mengikut teori ini setiap rangsangan akan menghasilkan gerakbalas. Gerakbalas ialah tingkahlaku yang timbul kesan daripada rangsangan. Rangsangan pula ialah tenaga yang menimbulkan gerakbalas. Contohnya apabila guru memberikan arahan supaya murid berdiri, maka murid dengan cepat akan berdiri. Arahan ialah rangsangan, manakala tindakan berdiri ialah gerakbalas. Hasil daripada kajiannya, Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku kesan daripada kaitan antara rangsangan dengan gerakbalas.

Implikasi Teori Pavlov ke atas pengajaran dan pembelajaran.

Daripada teori ini, guru perlu sedar bahawa rangsangan dan gerakbalas mempunyai kaitan yang boleh dilazimkan atau dipelajari.Kaitan antara rangsangan dengan gerakbalas dapat diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerakbalas, semakin kukuh gerakbalas terlazim itu. Contohnya, apabila guru memberi pujian ( rangsangan ) setiap kali murid mendapat hasil yang baik ( gerakbalas ), maka gerakbalas itu menghasilkan sesuatu yang baik dan berterusan.

Motivasi juga memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran. Contohnya dalam bilik darjah, guru perlu memotivasikan murid-murid dengan menunjukkan sesuatu yang menarik sebelum mereka dapat memberikan penumpuan yang teliti. Pembelajaran juga boleh berlaku melalui latihan, pembiasan atau pengalaman. Oleh itu, guru perlu melibatkan murid-murid dalam proses pengajarannya seperti mengadakan aktiviti kumpulan, perbincangan dan sebagainya.

Dalam pembelajaran, penghapusan boleh berlaku jika peneguhan tidak diberikan. Ini bermakna , sekiranya sesuatu tingkahlaku tidak diperkukuhkan melalui ganjaran, tingkahlaku itu mungkin akan terhapus begitu sahaja. Konsep pemulihan serta merta juga dapat membantu seseorang guru meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

TEORI PERKEMBANGAN KOGNITIF JEAN PIAGET.

Teori ini menekankan perkembangan kognitif kanak-kanak iaitu merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Menurut Piaget, perkembangan kognitig seseorang kanak-kanak adalah mengikut siri urutan yang berperingkat-peringkat. Piaget membahagikan perkembangan itu kepada empat peringkat iaitu:

Peringkat deria motor ( 0 2 tahun )

Peringkat praoperasi ( 2 7 tahun )

Perinkat operasi konkrit ( 7 11 tahun )

Peringkat operasi formal ( 11 tahun dan keatas )

Implikasi Teori Perkembangan Kognitif Piaget terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Daripa teori ini, guru perlu sedar bahawa pada peringkat awal, kanak-kanak seperti di kelas tadika perlu didedahkan kepada bahan-bahan pelajaran yang terdiri daripada objek-objek besar iaitu yang senang dilihat dan disentuh. Manakal pada peringkat Tahun Dua dan Tiga, kanak-kanak bersifat egosentrik. Oleh itu, tajuk-tajuk seperti Rumah Saya, Keluarga Saya adalah sesuai disediakan sebagai bahan bacaan dan tulisan. Pelbagai jenis alat bantu mengajar diperlukan untuk mengajar kanak-kanak di peringkat sekolah rendah disebabkan perkembangan kognitif yang terhad.

Murid-murid di peringkat sekolah rendah juga masih belum bersedia menyelesaikan masalah abstrak atau dalam bentuk hipotesis. Oleh itu, banyak contoh konkrit dan analogi diperlukan untuk memudahkan pemahaman murid-murid sekolah rendah. Isi pelajaran dan aktiviti pelajaran yang disediakan perlu selaras dengan peringkat perkembangan kognitif murid-murid. Sekiranya tidak, bahan atau aktiviti pelajaran tersebut mungkin akan membosankan murid-murid atau terlalu sukar bagi mereka.

Setiap tajuk pelajaran perlu disusun dan diperingkatkan. Ini membolehkan penyampaian tajuk pelajaran daripada peringkat yang senang kepada peringkat yang susah. Cara seperti ini akan menjamin murid-murid memperolehi hasil pembelajaran yang maksimum.

TEORI PEMBELAJARAN GAGNE

Menurut Gagne pembelajaran adalah sebagai satu cara pemerosesan data dan maklumat. Proses pembelajaran bergerak daripada peringkat yang paling mudah menuju kepada peringkat yang rumit. Pembelajaran pada aras yang tinggi bergantung kepada pembelajaran pada aras yang rendah. Gagne telah mengenal pasti lapan jenis pembelajaran iaitu:

Pembelajaran isyarat.

Pembelajaran rangsangan gerak balas

Rangkaian.

Pertalian berbahasa.

Pembelajaran diskriminasi.

Pembelajaran konsep

Pembelajaran hukum

Penyelesaian masalah.

Implikasi Teori Pembelajaran Gagne.

Pada peringkat awal, pembelajaran isyarat boleh dijalankan. Contohnya, guru menunjukkan objek sambil mengimbaskan kad perkataan. Pembelajaran rangsangan gerak balas membawa implikasi bahawa guru perlu sentiasa memberi pujian dan galakan apabila murid menunjukkan hasil yang baik

Daripada aspek rangkaian motor, guru perlu menggunakan prinsip ulangan dan membuat sesuatu mengikut urutan ketika mengajar. Implikasi pertalian berbahasa kepada guru ialah ketika mengajar, guru perlu menggalakkan kemahiran menulis dan mengemukan hujah. Contohnya, ketika mengajar konsep buku, guru bukan sahaja boleh menunjukkan buku sebenar malahan murid-murid digalakkan untuk menyebut dan mengeja perkataan itu.

Guru perlu membimbing murid-murid membuat diskriminasi atau membezakan fakta yang penting daripada yang kurang penting. Kebolehan mendiskriminasi juga boleh digunakan untuk membezakan ciri-ciri sesuatu kumpulan tumbuhan dengan ciri-ciri kumpulan tumbuhan yang lain. Guru juga boleh membantu murid-murid mengenal pasti cir-ciri utama suatu kelas objek agar pembentukan konsep mudah dicapai. Soalan-soalan yang boleh memandu murid-murid ke arah pembentukan konsep dengan jelas perlu digunakan.

Guru perlu menggunakan perbandingan, anlogi dan aplikasi ketika mengendalikan pembelajaran hukum. Seseorang guru perlu:

memberikan maklumat yang mencukupi.

Membimbing murid-murid untuk mengenal pasti perkara-perkara penting dalam hukum berkenaan.

Membantu murid-murid melihat pertalian antara komponen yang releven.

Mengemukakan soalan-soalan yang memberi peluang kepada murid-murid untuk membuktikan kefahaman mereka terhadap hukum yang dipelajari.

Menggalakkan murid-murid membuat huraian tentang sesuatu hukum itu.

Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, guru perlu memberikan panduan dan cadangan tentang konsep dan hukum yang diperlukan. Petunjuk yang berhubung terus dengan penyelesaian masalah tidak perlu diberi kerana ini menjadikan tugasan itu terlalu senang dan kurang mencabar.

TEORI PEMBELAJARAN BRUNER.

Kajian Bruner menekankan perkembangan kognitif kanak-kanak. Ia menekankan cara-cara manusia berinteraksi dalam alam sekitar dan menggambarkan pengalaman secara dalaman. Menurut Bruner, perkembangan kognitif juga melalui peringkat-peringkat tertentu. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:

Peringkat enaktif ( 0 2 tahun )

Peringkat ikonik ( 2 4 tahun )

Peringkat simbolik ( 5 7 tahun )

 

Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori. Beliau mengutamakan pembelajaran secara induktif dengan menggunakan konsep atau kategori. Beliau juga mementingkan sistem pengekodan dalam huraiannya tentang pemikiran. Dengan adanya sistem pengekodan, kita dapat membuat inferens ( kesimpulan ) daripada rangsangan yang diterima.

Implikasi Teori Bruner ke atas pengajaran dan pembelajaran.

Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru perlu menyediakan peluang untuk murid-murid menroka, memegang, mencium dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna. Bagi murid-murid di Tahap Satu, gambar, carta dan objek perlu digunakan bagi memudahkan pembentukan konsep.

Bagi murid-murid Tahun Enam ke atas, hukum dan prinsip perlu ditekankan agar murid-murid berupaya mengaplikasikannya dalam proses penyelesaian masalah. Bruner juga menekankan pembelajaran yang terhasil daripada interaksi murid dengan guru, interaksi dengan murid-murid lain dan interaksi dengan bahn pengajaran. Maka kerja berkumpulan dan sesi perbincangan perlu diadakan dari masa ke semasa.

Penglibatan murid-murid penting agar mereka dapat menikmati pembelajaran bermakna. Pengetahuan juga perlu disusun dan diperingkatkan agar pembentukan konsep bermula daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang rumit. Ini bermakna guru perlu memeringkatkan isi pelajaran.

Bruner juga menekankan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Ini bermakna guru perlu memberi ganjaran dan pujian apabila sesuatu tingkahlau yang diingini dilakukan. Kesediaan belajar juga ditekankan oleh Bruner. Dengan itu, guru perlu mengambil kira kesediaan belajar murid-murid ketika merancang proses pengajarannya. Sementara itu, nilai-nilai murni seperti bekerjasama, bertolak ansur dan tolong-menolong akan dapat dipupuk dalam aktiviti pengumpulan maklumat projek dan perbincangan.

(5)TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME.

Teori ini menekankan pembinaan pengetahuan oleh pelajar. Pelajar dapat membina pengetahuan dengan menggunakan pengetahuan sedia ada mereka. Pelajar akan mengaitkan pembelajaran baru dengan pembelajaran lama yang sedia ada.

Prinsip-prinsip asas Teori Konstruktivisme ialah seperti berikut:

Pengetahuan dibina oleh pelajar.

Setiap pelajar memiliki idea dan pengetahuan asas.

Proses pembinaan pengetahuan melibatkan aspek sosial.

Komunikasi antara guru dengan murid mungkin menimbulkan perselisihan faham.

Guru dianggap sebagai fasilitator dalam proses pembinaan pengetahuan pelajar.

Implikasi Teori Konstruktivisme ke atas Pengajaran dan Pembelajaran.

Kanak-kanak ialah pembina teori. Ilmu pengetahuan tidak disampaikan kepadanya. Sebaliknya, dia bertanggungjawab membina pengetahuan. Oleh itu, guru perlu menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk pembinaan pengetahuan kanak-kanak.

Guru juga perlu menerima hakikat bahawa kanak-kanak datang ke kelas dengan berbekalkan pelbagai pengetahuan yang sedia ada dan nilai-nilai tertentu. Mereka akan membina pengetahuan berdasarkan idea-idea dan nilai-nilai yang sedia ada itu. Sebenarnya, guru bukan merupakan penyebar pengetahuan, sebaliknya beliau lebih merupakan seorang pemudah cara atau fasilitator. Beliau akan menyedikan pelbagai jenis bahan pembelajaran dan menggalakkan uji kaji, percubaan serta penyelesaian masalah agar pembinaan pengetahuan oleh kanak-kanak dapat berlaku.

Guru perlu menggalakkan interaksi di kalangan murid. Interaksi ini akan dapat memudahkan mereka bertukar-tukar idea dan pembinaan pengetahuan mereka. Guru juga perlu berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan bilik darjah yang menggalakkan pergerakan murid dan tahap kebisingan yang dibenarkan. Bilik darjah juga perlu disediakan dengan pelbagai jenis bahan dan media pembelajaran yang boleh menggalakkan dan merangsangkan pembelajaran kanak-kanak. Bahan-bahan pembelajaran yang mencukupi dan mencabar akan memudahkan murid-murid membina pengetahuan.

Kurikulum yang disediakan tidak seharusnya terlalu ketat. Rancangan pengajaran dan pembelajaran perlu fleksibel kerana pada kebiasannya, proses pembelajaran kanak-kanak adalah spontan dan sukar diramal. Kurikulum itu juga perlu memenuhi keperluan, minat dan kebolehan kanak-kanak.

 

BIBLIOGRAFI

Ee Ah Meng, Psikologi Pendidikan 111, Penerbitan Fajar Bakti,2002.

Mok Soon Sang, Psikologi Pendidikan 1, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 2001.

Atan Long, Psikologi Pendidikan, DBP, Kuala Lumpur, 1978.

Poh Swee Hiang, KBKK, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 2000.

Hasan Langgulung, Asas-asas Pendidikan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.

________, Beberapa Tinjauan dalam Pendidikan Islam, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1981.

Mahmood Nazar Mohamed, Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990.

Kementerian Pendidikan Malaysia, Garis Panduan Kurikulum Prasekolah Malaysia, Kuala Lumpur, 1986.

REFLEKSI.

Alhamdulillah, Syukur saya ke hadrat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurnianya, saya dapat menyiapkan tugasan ini, walaupun dibatasi masa yang terhad lantaran kesibukan tugas seharian.

Walaupun ianya tidak begitu lengkap dan mungkin tidak mencapai sasarannya tetapi inilah yang terbaik yang dapat saya hasilkan. Saya tetap bersyukur dan gembira kerana jerih perih saya membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga orang cahaya mata, guru agama dan pelajar tetapi akhirnya saya berjaya menyiapkan tugasan ini.

Pada mulanya, apabila menerima tugasan ini daripada Encik Md. Zin , saya agak keliru tentang kehendak soalan. Berulang kali dibaca barulah saya dapat memahami kehendak soalan. Setelah itu, kami berempat berbincang bersama-sama dan membahagikan tugas kepada setiap ahli. Kemudian apabila masing-masing telah menyiapkan tugas, hasil tugasan dikumpulkan.

Dalam tugasan ini, saya mengambil masa yang agak lama kerana kekangan masa dan keletihan akibat rutin hidup seharian. Adakalanya saya menaip pada waktu awal pagi dan adakalanya pada lewat malam kerana pada waktu itulah saja yang sesuai dan tenang.

Setelah menyiapkan tugasan ini, saya dapati banyak perkara baru dan pengalaman baru yang saya perolehi. Semuanya menginsafkan diri ini betapa kerdilnya saya jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu Allah s.w.t anugerahkan di maya pada ini. Ilmu yang saya perolehi hanyalah setitis daripada lautan ilmu Allah s.w.t.

Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Md. Zin b. Badui yang telah memberikan bimbingan, kedua ibubapa, suami dan anak-anak yang tersayang yang begitu memahami diri ini dan telah banyak berkorban untuk saya demi segulung diploma pada Dis. 2004.

Sekian, terima kasih,

 

Zanariah 03.

(Zanariah bt. Mohd Noh)